Mereka Menyanyi: Jangan Bazirkan Perasaan Benci


Dari jauh terlihat mara api menjulang tinggi. Bahan bakarnya adalah ikhtiar seorang lelaki penggemar api. Kami senang memanggilnya Epi. Dipatah-patahkan kayu ranting, ditambah dengan daun kering. Yang mana nanti asap tebalnya berkejar-kejaran dengan makhluk kecil. Makhluk yang menggerumus darah merah kami. Aku baru pulang daripada berjalan membersihkan diri bersama Lisa, Tikus, Jiji dan Fakhri. Waktu aku sampai, batang hidung yang lain tidak kelihatan. Cuma ada Farid dan Syahir terbunuh kepenatan. Barangkali rasa lelah telah menjalar naik menidurkan tubuh yang letih. Kira-kira 60km juga kami berkayuh daripada Masjid Sultan Abdul Samad ke Port Dickson. Lega hati kami sampai ke lokasi sebelum matahari tergelincir.

Radpacker Bike Camping 2.0
Boleh jadi 1.0 itu rujuk kepada kayuhan tahun lepas — tahun pertama kami berjabat tangan sebagai kawan. Kalau ikut route tahun lepas, kami perlu lajak berbelas kilometer lagi kehadapan. Lebih jauh lokasinya. Mujur tahun ini dak Radpacker diberi hidayah untuk berhenti sahaja di kawasan yang lebih dekat dengan penempatan. Tapaknya masih percuma. Tinggal tempat mandinya sedikit jauh. Kira-kira 3km nun di hujung. Apa-apa pun masih baik untuk aku yang sudah tidak larat menunggang basikal baru. Lagipun cuma berempat sahaja yang menaiki basikal, selainnya pacu kenderaan. Jadi persiapan bahan mentah, makanan (kali ini) lebih teratur. Siap bawa ice box merah lagi kau! Cool tak cool.

"Jom duduk di pantai," ajak Lydia seraya bangun dari pembaringan di buai gantung waktu aku terkial-kial memasukkan baju kotor ke dalam pannier basikal. Walaupun jam telah melangkaui nombor 12, namun masih tiada tanda-tanda 'malam kebudayaan' hendak dimulakan. Masing-masing pilih berbuat hal sendiri. Atau mungkin tiada malam kebudayaan pada hari ini(?) Tapi mana boleh.. main kad merupakan tradisi camping. Malam tidak akan sempurna tanpa menipu orang dan bergelak ketawa. Tidur awal hanya membuang-buang masa. Entahlah. Yang aku ingat aku mengakhiri malam tersebut tanpa menyetuh kad mahupun duduk dalam bulatan. Kerana malam itu aku pilih untuk melayan perasaan di tepi pantai. Bak kata Altimet, malam ini aku acah deep, buat lirik untuk budak acah deep.

Senyuman dikuntum manis biarpun pekat malam menyekatnya (untuk kelihatan). Lambat-lambat aku pasang reaksi. Aku sebenarnya cuak dengan ruang dan laut. Tak berapa minat.  Kalau kau bagi gunung dan laut; aku pilih gunung. Atau mungkin aku tak pilih dua-dua. "Jomlah.. saya ada," ujurnya lagi. Aku hantar pandang ke pasir datar. Hujungnya ada ombak menghempas bunyi.

"Jom.."

5 tahun yang lepas; Konfrontasi Jiwa

5 tahun lepas, bulan yang sama (barangkali tarikh pun sama), aku telah duduk menghadap Selat Melaka bersama sekumpulan orang yang menamakan diri mereka sebagai Konfrontasi Jiwa. Tahun muda. Tahun pemberontakan. Ahh.. aku akan bertukar menjadi sentimental kalau mahu berbicara tentang ini. Sekumpulan orang yang aku pilih sendiri. Macam aku pilih untuk langsaikan hujung minggu tiga kali berturut-turut dengan dak Radpacker. Aku masih ingat malam itu Nawi ada buatkan puisi. Lalu aku datang. Aku dalam puisi ini merujuk kepada Jang, Ben dan Nawi. Cepat masa berlalu. Konfrontasi Jiwa pun sudah mati. **Kali terakhir aku berjumpa dengan Jang pada tahun 2016. Aku ada dengar desus-desus mengatakan Asnawi Si Jebat Derhaka dan Jang Mendi tidak menulis lagi.

***
5 tahun ke depan; Sekarang
Hari ini di sisir pantai sekali lagi aku menghadap Selat Melaka. Kami bertiga — aku, Jiji dan Lydia. Jika kau lihat ke depan, ada bentangan laut meluas. Di horizonnya wujud cahaya nipis-nipis datang dari sampan nelayan. Langitnya semacam hendak hujan. Jika kau menoleh ke belakang, nun di sana ada pokok-pokok tinggi. Di bawahnya terletak bayang-bayang khemah dan basikal kami. Untuk aku, aku pilih berkiblat ke sudut tepi; lebih rasa selamat melihat bangunan daripada gerun memandang laut hitam. Sambil leka bermain pasir, sambil peka mendengar sirr. Aku rasa kesan sebulan tidak bertentang mata buatkan kami kumpul banyak cerita. Wallahi senang aku lihat masing-masing gembira. Senang mendengar cerita-cerita mereka; terutamanya yang di depan mata ini.

***

Apa yang akan berlaku pada 5 tahun ke hadapan?
Tenang adalah kata yang paling sejuk untuk melenyapkan risau dan perkara bodoh. Aku berharap ketenangan sentiasa datang waktu risau itu tumbuh. Kalau jangka hayat persahabatan macam Konfrontasi Jiwa; realiti adalah kami akan berpecah. Tak aci. Mana boleh berpecah kalau bunga **Philia sedang mekar dalam hati aku? “Cinta sesama manusia akan menyempurnakan cinta Ilahi. Mereka akan saling mengingatkan, saling berpesan-pesan.” bahas Jiji dan Lydia. Jangan kepikiran sangat. Tidak sihat untuk tubuh badan. Malam inikan malam yang kita tunggu (untuk berjumpa kawan).

Suara riuh pun datang dari punca api. Kami tertoleh ke belakang. 5 tahun akan datang suara ini akan hilang. Aku berharap ia kedengaran semula waktu membela aku nanti di padang mashar, waktu aku tergelincir di siratul mustaqim.“Kita camping dalam syurga ya. Jadi sahabat di sana. Lillahi taala.

Kapal kawan,
Mai Radhiallah.

Special thanks untuk semua kawan yang pernah baik pada aku.
**Last jumpa dengan Ben adalah weekend lepas — ♥️

Special thanks to Jang, Ben, Nawi & Mai-19-yo

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Aku selalu suka membaca tulisan kau. Menenangkan. :D

    BalasPadam