Surat Untuk Mai & Sekumpulan Orang Gila




Kehadapan Mai,

Tujuan saya menulis surat ini untuk mengingatkan awak bahawa di pertengahan usia 20an, awak telah bertemu dengan sekumpulan orang gembira. Awak menyanyi, awak menari, awak kejar matahari; nikmati manis dunia sepuas-puasnya! Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu awak akan keluar berlibur menghabiskan masa bersama mereka, Mai. Dan bilangan mereka terlalu ramai. Sehingga awak tidak mahu kehilangan satupun daripadanya.

***

Mai, aku nak realisasikan impian kau main masak-masak weekend ni,” Ujur Epi sampaikan pesan mengguna medium twitter. Seminggu sebelum itu, kami ada lepak-lepak minum kopi di Papa Palheta. Aku ada menyatakan hasrat nak main masak-masak buat kek di hujung minggu. “Bab masak aku serahkan kat kau.” tambahnya lagi. Aku terdiam. Nampaknya mimpi jadi kenyataan. Tersenyum bahagia tiga minggu berturut-turut dapat main masak-masak.

Pertama di Janda Baik, Pahang. Penuh perut. Ini pertama kali aku pergi barbecue yang makanan dia habis licin tak tinggal sisa. Tiada pembaziran. Kedua di kawasan berdekatan Fraser Hill. Aku pernah guna jalan ini masa camping dengan Faiz. Kali ini kumpulan lebih kecil dan macam biasalah tidur lewat semata-mata main kad. Terbaru di Gopeng, Perak. Yang ini sempena cuti Raya Cina.

Semasa di Kuala Kubu Baru: tomato kecil, cendawan butang, racik ayam dan pasta - kata Jiji ini makanan bangsawan. Bahan mentah ini diadunkan dengan rasa cinta. Sampai hujan pun jadi cemburu. Berangkatlah masing-masing bertukar tempat, kumpul makanan bawah kanvas biru. Tapi di kanvas biru itu; tanahnya tertanam pokok renek. Elok masing-masing berentap tahan rasa lapar, sempat lagi bertingkah lidah bersulam ketawa sebelum mengambil tempat sedia makan malam (walhal jam telah cecah pukul 12 malam).

***

"Haaa.. single!!" Jerkah Farid sambil mencampak satu kad merah ke tengah. Sebenarnya permainan baru dimulakan selepas pulang dari makan malam di Warung P. Ramlee, Gopeng. Waktu itu sedang sibuk berborak kiri kanan. Suasana diam seketika. Fokuskan terarah pada Farid.

"Single apa?" Serentak aku, Epi dan Serak bertanya.

"Single queen,"

Terburai ketawa jadi bintang bertaburan sambil tangan melaju membuka kad paling atas. Farid menipu. Lekas aku keluarkan kad baharu menguasai permainan taik ini. Ah.. masing-masing disalut rasa gembira! Hutan tenggalam dengan suara bahagia. Sampai tempat tidur pun tertunggu-tunggu kehadiran tuannya.

Uuuuuu sang al-gojo...

Uuuuuu nanti dulu...
***

Mai,

Sekiranya suatu hari nanti tubuh awak lumpuh dihurung rasa depressi dan sunyi, saya harap awak buka dan baca semula tulisan disini. Ia akan mengingatkan awak perihal mereka (Senyum). Satu hal yang perlu awak sedar adalah mereka akan meningkat tua dan hukum alam perlukan mereka menyerah diri kepada tanggungjawab. Mereka akan berkeluarga. Awak juga. Kalian akan sama-sama merindukan hari muda. Jangan bersedih. Waktu yang ada ini nikmatilah sepuas-puasnya!

Ikhlas,
Mai

Catat Ulasan

0 Ulasan