Gerabak Terakhir Menuju Klang



Waktu gerabak kereta api perlahan-lahan meninggalkan stesen KL Sentral, hari sudah terlalu malam. Jarum jam pendek juga telah lama berganjak dari titik 9. Abu telah aku parkir sandar pada bangku biru di sisi kananku. Kami berpegangan tangan sambil duduk-duduk menikmati bunyi rel-rel kereta api berlaga.

Isnin nan penat, keluhku.

Suasana sekeliling begitu lembab dan yang tinggal hanya sisa baki energi. Semasa mendapatkan kepastian perihal angkut basikal ke dalam gerabak tadi pun; malas-malas sahaja petugas kaunter mahu tangani. Akhirnya aku buat kesimpulan sendiri  bawa Abu turun menggunakan lif dan berjalan tuju tempat menunggu di ruang gerabak pertama.

Sebenarnya aku baru sahaja selesai weekend-ride ke Port Dickson bersama sekumpulan orang gembira yang menamakan diri mereka sebagai Radpacker. Kemudian kami berpecah; aku dan Rafi bawa haluan ke Melaka. Sampai Melaka, Rafi pula putuskan mahu terus pulang ke Klang (pada hari yang sama). Kami bersetuju untuk berpisah di stesen bas Melaka Sentral dan kayuhan diteruskan ke Bukit Katil. Biasalah kalau sudah berada di Melaka. Mana lagi tak aku tuju kalau tidak ke rumah Ben. Dan Ben selalu sahaja menang pujuk aku. Kalau ikutkan keesokan harinya (iaitu hari ini) aku mahu masuk Muar.

"Mai stay lama sikit. Nanti Ben hantar pulang ke kereta api Stesen Tampin,"

Termakan.

Dan begitulah rentetan hal yang membawa aku terduduk di bangku biru sekarang ini. Kira-kira 40minit sahaja lagi hendak sampai ke destinasi. Aku lebih banyak berkhayal sejujurnya. Berfikir. Kerana setibanya di Bandar Klang nanti, aku masih perlu mengayuh dalam jarak 27km untuk sampai ke Pekan Meru, Klang. Bandar Klang boleh tahan sesak lalu-lintasnya dan aku masih belum pernah buat kayuhan malam. Masih tiada apa-apa perancangan untuk ini. Melayang. Sedar tak sedar, bunyi suara operator pun penuhi ruang memaklumkan kereta api akan membuat hentian di Stesen Pantai Dalam.

Berhenti.

Pintu gerabak kereta api pun terbuka.

Tidak banyak penumpang yang keluar masuk. Sekadar ada.

Muncul laki-laki berkulit bersih warna coklat pekat, tinggi, kemas dengan rambut potongan askar. Tertib mengambil tempat duduk di sebelah kiri ku. Selang dua bangku. Kami bertukar senyum.

"Dari mana?," Tegur pemuda itu.

"Tampin," Sahutku. Nama tempat stesen pertama aku dan Abu berangkat.

Dia mengangguk faham.

"Naik basikal?" Tanya pemuda itu lagi.

Nampaknya begitulah. Tidak dinafikan apabila bersama Abu, aku lebih mudah didekati. Kami bertukar dua tiga cerita perihal Abu dan Melaka. Kenapa, bagaimana, siapa, bla.. blaa.. blaa.. Seperti gerabak ini yang melepasi satu stesen ke satu stesen, begitulah juga soalan-soalan yang dikemukakan oleh laki-laki ini. Bertali-tali. Sudah terlalu malam untuk menjadi seorang peramah, Mai, getus hatiku.

Kemudian dia ternampak pula buku yang aku selitkan pada pannier Abu.

"Kalau baca buku, sedikit-sedikit atau terus habis?"

Aku bawa mata ke buku tulisan Ahmad Iqram Muhammad Nor. Ikut keadaan, jawabku lurus. Selalunya kalau aku terlalu suka akan sesuatu buku itu, aku menjadi kedekut; baca satu per satu. Kadang sampai berminggu, tak habis lagi. Sayang mahu habiskan. Sampai buku itu lunyai tak serupa buku. Dia mengangguk-anggukkan lagi kepala tanda faham. Seperti aku jangkakan dia pula akan mengulas pendapat perihal buku.

"Ya. Betul tu. Buku bersifat untuk dinikmati. Bukan siapa cepat, dia power. Kira kualiti bukan kuantiti. Bila baca kita kena fahamkan. Yada.. Yada.. bla.. bla.. blaa.." Ulasnya panjang lebar perihal buku. Aku iyakan sahaja. Sebelum kami sama-sama diam. Baki lima buah stesen lagi. Ntah sudah keberapa kali enjin kereta api ini dimatikan kemudian dihidupkan kembali.

[Narator: Ahh aku tak pasti bagaimana mahu hubungkan perenggan di atas dengan perenggan di bawah ini, aku habis buntu dan mula merasakan penulisanku ini jelek dan comot. Sebetulnya laki-laki itu pandai mencambah topik-topik baru. Ia tidak hanya bertanya perihal Abu dan buku, ia juga tajam mengkritik aku, mempersoalkan cita-citaku, impian aku; sebelum tiba-tiba sahaja membuat sebuah pengakuan yang aku kira gila!]

"Dua kali saya terlepas daripada tuduhan hukuman gantung. Pertama, kes dadah. Kedua, kes pukul orang."

Perbualan yang tadi aku fikirkan sudah selesai rupanya masih tersisa lagi. Mendengar pengakuan tadi lekas-lekas aku berlagak tenang. Dia menambah kenyataan pada pengakuannya.

Tuduhan Pertama: Dadah. Kalau ikutkan dari sosok tubuhnya. Dia tidak kelihatan seperti penagih dadah. Dia sihat-sihat sahaja. Bahkan dia kelihatan seperti seorang pengawai anggota. Dia maklumkan kepada aku bahawa dadah tersebut bukan milik dia. Ada seseorang yang telah mengenakannya.

Tuduhan Kedua: Pukul orang. Sejujurnya sewaktu dia menerangkan tuduhan kedua ini. Aku sudah hilang fokus. Mata aku mula melilau cari bahan. Nama tempat, masa, kawasan sekitar; semua aku rakam dalam kepala. Cuak juga aku. Tiada angin, tiada ribut buka cerita serbagini.

"Jangan terlalu percaya kawan/orang," Ini sahajalah satu-satunya nasihat dia yang aku ingat dan sadar. Yang lain telah terhapus lenyap dalam kepala aku. Aku menganguk-angguk faham sebagai tanda terima kasih atas nasihat tersebut.

Kemudian, ntah bagaimana dia tunjukkan pula laman facebooknya. Katanya dia banyak menulis. Lagi dia ingatkan, hidup ini jangan terlalu selesa. Selesa itu tidak menjamin masa depan. Sepanjang sesi terima nasihat itu aku senyum sahaja. Sempat dia pesan sebelum turun di Stesen Shah Alam,

"Jangan lupa follow facebook saya,"

Aku angguk.

Pintu tertutup.

Aku pegang Abu.

Keretapi perlahan-lahan tinggalkan stesen itu; menuju Klang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan