Kamis, Maret 09, 2017

Melor Radhiallah & Jamal Soya (3)

Sub: Ulang Tahun Kematian Perempuan Anggun

6 tahun ke belakang..

Mak mati dalam keadaan yang sangat epik setelah seminggu bergelut nyawa melawan bakteria jahat. Yang tiba-tiba datang menghinggap di akar urat pernafasan otak kanan. Tanpa sebarang tanda, tanpa alamat. Di suatu malam yang terlalu tua, malapetaka telah berjaya menerjah masuk mengganggu letak tidur Melor. Sebetulnya gigitan nyamuk yang terlebih dahulu membangunkan Melor sebelum dia benar-benar terganggu dengan bunyi suara dari arah ruang tamu.

"Mak masuk hospital..," kata Nek Manis apabila ternampak kelibat Melor muncul dari arah belakang. Terlihat Kabi yang tergesa-gesa memasukkan barang ke dalam beg sandang. Satu kereta sedang menunggu di luar laman. Melor masih dengan muka toya. Muka busuk menahan ngantuk. Mungkin pagi terlalu pagi untuk dia menghadam berita yang disampaikan oleh seorang nenek. Apabila bau asap kereta beransur hilang, satu panggilan keluar segera dibuat.

Abah. Abah saksi pertama yang mendapati mulut Mak berbuih selepas beberapa minit Mak mengadu sakit kepala. Itu pun setelah mendengar dengusan nafas Mak yang tidak teratur. Garau. Tidak banyak sangat yang dibualkan kerana Abah sedang menunggu di ruang kecemasan. Bersama dua tiga pesanan dari seorang Abah kepada anak paling tua yang berada di rumah, Melor dipaksa jalani rutin pagi seperti biasa - sekolah. Sekolah tetap sekolah. Abah agak tegas dalam hal melibatkan pelajaran. Cuma bezanya rutin pagi ini diselang-selikan dengan esak tangis kecil. 

'Pagi yang ribut anata'

Pembedahan menutup saluran darah yang pecah berjalan dengan lancar. Separuh tempurung kepala ditebok. Boleh jadi Doktor telah menggergajinya untuk capai masuk ke dalam otak seperti video-video pembedahan ngeri yang pernah Melor nonton sebelum ini. Mungkin. Jahitan sepanjang dua jengkal boleh jelas kelihatan di atas telinga sebelah kanan Mak. Tiada rambut. Sembab. Muka Mak membengkak beralih ke warna ungu menyebabkan wajah Mak sukar dikenal pasti.

Mak terlantar di wad kecemasan. Koma. Sejujurnya, tidak banyak yang Melor tahu akan keadaan Mak melainkan dengan mencuri-curi dengar perbualan Abah dengan pelawat yang datang untuk melawat Mak. Kata Abah, doktor maklumkan peratusan hidup Mak adalah sipi-sipi, 50/50, separuh masak. Kalau Mak dapat teruskan hidup sekalipun, Mak akan hidup merana.

Dalam gusar hati Mak tidak sedarkan diri, Melor masih gigih angkut beg berat tong gas ke sekolah. Masih bergurau dengan teman-teman. Adakala dia cuba-cuba juga untuk mencari seseorang dijadikan tempat meluahkan apa yang terbuku di hati, but what do you expect from a classmates? Akhirnya, niat ini dibatalkan begitu sahaja dan diteruskan dengan bergelak ketawa.

"Tuhan, sekiranya kesakitan itu dapat disembuhkan dengan kematian, sila ambil Mama. Aku bersedia," Disujud terakhir Melor bercakap dengan Tuhan.

1 Ramadhan

Tuhan makbulkan.

Perempuan Anggun pulang dalam keadaan tersenyum.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar