Sabtu, Oktober 15, 2016

Falsafah Kematian: Selasa Bersama Morrie

Once you learn how to die, you learn how to live.

Bagaimana mati dapat menyadarkan kita bahawa hidup adalah suatu yang perlu dinikmati dari setiap sudut inci. Dengan adanya kematian barulah manusia merasa benar-benar hidup. Dengan adanya kematian barulah manusia lebih ghairah menghidupkan hidup kerana dihujung hidup mereka akan temui mati. 

Aku sedang memanjat ke titik kemuncak umur dengan cara tersendiri; uang-ku bertaburan. Makananku melimpah ruah. Sahabat-sahabatku adalah orang yang senantiasa meluangkan keasyikan nikmat dunia bersamaku - perempuan seksi, tegukan air, mesin kasino. Bahkan kerjaya telah mengangkat namaku dalam kalangan masyarakat. Mereka menjulang-julang pangkatku sambil memuji-muji kebijaksanaan ini. Iya! Aku sedang memanjat ke titik kemuncak! Akan aku kibarkan bendara kemasyuran setelah sampai di titik sana nanti !

Namun kata Morrie, kemasyuran ini (perempuan, pangkat, harta dll) akan terhijab setelah aku menemui mati. Kemasyuran seperti ini hanya ilusi. Tidak kekal. Hanya sementara. Akan hilang. Terhapus. Mati. Mati. Malah kemasyuran ini akan membuatkan aku mati sebelum mati. Kalau tersentak terngeladah; carilah jalan keluar untuk berdamai dengan mati.

Banyak sekali orang yang hidup dengan kehidupan yang tidak bermakna. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan separa sadar walapun mereka sedang sibuk melakukan perkara-perkara yang mereka fikir adalah penting. Sehingga malam datang menguncup pipi mereka dengan keluhan betapa cepatnya masa berlalu. Setiap hari adalah rutin yang sama. Ini adalah kerana mereka mengejar perkara yang salah.

"The way you get meaning into your life is to devote yourself to loving others, devote yourself to your community around you, and devote yourself to creating something that gives you purpose and meaning."

Morrie memberitahuku - semakin aku membesar, semakin banyak perkara yang aku akan pelajari. Jika aku berdegil seperti mana degil dan jahilnya aku ketika berumur dua puluh dua, aku akan kekal menjadi dua puluh dua. Menjadi tua bukan hanya hal 'kerosakan' sahaja. Ia membesar, membangun, mengembang. Kalau aku fikir aku akan mati; aku akan mati dalam keadaan negatif. Kalau aku memahami aku akan mati; aku akan mati dalam keadaan positif dan ini yang akan membuatkan hidup aku lebih bermakna.

Yang sedang memahami mati,
Mai Radhiallah.

2 komentar: