2/21/2017

Kita semua akan mati (tapi bukan sekarang)

Dia menderita. Aku dapat lihat dengan jelas sekali dari anak matanya. Kerap kali juga aku dimaklumkan perihal demamnya. Termasuklah pada hari aku datang mengunjunginya untuk membawa Abu pulang, dia mengerang kesakitan di sofa hitam sewaktu menukar posisi badan. Boleh jadi akibat kesakitan yang melampau telah menyebabkan dia keletihan dan tiada tenaga untuk melakukan kerja harian seperti memasak, akhirnya gastrik pula yang datang menghinggap.

Aku yang masih meneka-neka emosinya pun masuk ke ruang kedai tingkat atas dengan berhati-hati. Aku takut sebetulnya. Mood dia sering berubah-ubah. Adakala dia menjadi begitu periang dan kami akan menyanyi bersama sambil menemannya di ruang kerja. Akan ada suatu masa tiba-tiba sahaja angin monsunnya datang (kebanyakkan disebabkan aku yang degil tidak mendengar arahan). Lagi-lagi aku datang di waktu tidurnya. Jadi untuk meneutral keadaan, benda pertama aku tuju, ke arah Abu.

Dia tidak gemar orang memecah masuk sesuka hati di ruang kerjanya. Aku sedia maklum akan hal ini. Walaupun dia agak terganggu apabila aku minta kebenaran untuk alihkan beberapa buah basikal yang lain bagi mendapatkan Abu, sekurang-kurangnya aku sudah dapat meneka emosinya; tidak stabil. Aku mau lekas-lekas bawa Abu keluar dan biarkan dia berehat.

"Mai pergi dulu ya," kata aku separuh berbisik di sisi sofa tempat dia berbaring. Abu dan segala peralatan basikal telah aku masukkan ke dalam kereta. Aku sedang kejar masa sebenarnya, Ezzaty sedang menunggu aku di parkir kereta.

"Jangan pergi,"

Sudah.

Kebiasaannya, setiap kali aku datang, aku akan kemaskan ruang dapurnya. Cuci pinggan mangkuk, bersihkan stove, susun semula pinggan mangkuk, bekas gula, balang kopi, semua hal-hal yang berkaitan dengan dapur. Hari ini, sekali lagi aku masuk ke ruang dapurnya. Bezanya dengan hari-hari sebelum adalah ruang ini sangat tidak terurus dan berserabut. Ya. Nampaknya kesakitan itu betul-betul menganggu.

Selesai mengemas dapur dan memberi kucing-kucing kesayangannya makan - aku turun sebentar beli roti dan masuk semula ke ruang kedai. Kali ini aku betul-betul kena pergi. Mungkin dia pun naik bosan bila aku kerap kali cakap tidak boleh lama. Sebelum pulang, kami berbual sedikit. Dia minta aku buatkan milo. Being Mai, she's always against people instruction. Aku tak dengar dan tergesa-gesa.

Aku sedih sebenarnya pergi dalam keadaan kami tidak berpuas antara satu sama lain. Dah banyak kali dah! Dan aku yakin bukan setakat milo je dia tak puas hati, roti yang aku beli tu pun bukan roti yang dia nak. Jadi semakin sebak. Sudahlah kesakitan sebenar telah memakan tubuhnya perlahan-lahan, aku pula buat perangai ikut kepala sendiri.

Dia menghantar aku ke pintu menggunakan anak mata sedang tubuhnya masih berada di sofa. Tak. Dia tidak hantar aku, dia cuma risaukan kucing-kucingnya kalau-kalau kucingnya tu berlari keluar. Aku masih ingat minggu lepas dia cakap nada keras "Tutup cepat nanti kucing keluar,"

Sebelum tutup pintu, aku senyum.

Moga datang suatu hari sebelum aku tutup pintu dan pergi - dia tersenyum.

***

Yang Melihat,
Mai

1 ulasan:

  1. Tanpa Nama10:06

    Mai, in other side aku baca cerita-cerita hang, God always sent to you a person who has beautiful inside Mai. Jangan rasa bersalah kalau tak dapat bantu orang lain. Lepaskan. God hearing too.

    BalasPadam