2/27/2017

Hari Yang Memerlukan Kita Toleh Ke Belakang - Pasar Chowrasta

"Pernah datang ke sini pada tahun lepaskan?," tanya lelaki tinggi berkulit gelap separuh tua kepada aku sambil menyuakan plastik putih berisi buku. Aku yang sedang tercari-cari not ringgit di dalam dompet pun jadi terberhenti sambil mengangkat muka mencari anak matanya. Soalan tadi aku jawab dengan senyum yang melebar. Ah! Mudah betul kau teruja akan hal remeh temeh seperti ini, Mai. "Datang berduakan?," ajunya lagi. Kali ini mataku membutang.

Masakan lelaki ini masih mengingat kami?!

Ya. Tahun lepas (atau mungkin dua tahun lepas), aku mengunjungi kedainya untuk mencari buku langka bersama Fatimah. Kami datang berdua pada mulanya, kemudian datang kembali bersama Faiz pada hari berikutnya, kemudian pada hari terakhir keberadaan kami di Pulau Pinang ini juga telah kami lunaskan di kedainya. Gila betul.

Pada ketika itu bangunan Pasar Chowrasta ini masih sepenuhnya bergaya lama, pintu kedai yang telah karat. Seingat aku, deretan kedai ini terletak di bahagian depan - apabila aku lewatinya pada tahun ini bersama Abu, bangunan telah bertukar kepada besi. Kedai buku ini berada di bahagian tersorok sedikit.

Sedang kami masih berborak perihal tahun lepas dan Fatimah, plastik putih bertukar tangan. 4 buah buku ke semuanya. Hasil daripada sesi membujuk merayu! Habis penuh buku dalam pelukan aku apabila satu per satu judul buku dikeluarkan. Salah satu daripadanya - To Love Again (True Story). Aku akan menulis perihal ini nanti. Selesai semua dan kembali reda, aku minta berangkat dahulu. Kami bertukar senyum.

Aku maklumkan pada Fatimah akan perihal ini. Aku mengatakan betapa besarnya hatiku dan merasa dihargai. Satu tahun itu tempoh yang lama untuk mengingat seseorang. Lagian pula, aku hanya orang sementara yang datang dalam hidupnya sebagai pembeli buku. Fatimah cuba melucu - lelaki ini boleh mengingat kerana bilangan pelanggan hanya sedikit. Margin untuk perniagaan buku adalah rendah. Bukan kerana ingat untuk mengingat. Boleh jadi. Haha. Fatimah, kau cuba mau provok aku ya!

Untuk mengingat Pasar Chowrasta, 
Mai Alexander Supertramp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan