Adaa satu hal yang kita inginkan selain kehidupan.

Sabtu, Januari 07, 2017 Mai Radhiallah 0 Comments


Seperti Ka yang hilang kebolehan menulis puisi ketika terbuang ke Frankfrut, Jerman; begitulah aku yang menjajau di sekitar gelap mencari potongan ayat buat permulaan tulisan di bulan Januari. Aku sedang mengeluh sebetulnya. Kalau di akhirnya apabila Ka bertemu dengan perempuan yang dicintai di kota miskin, Ipek namanya, beliau tersampuk dan kemudian puisi-pun terlahir lewat salju yang turun; barangkali aku juga perlu lahirkan rasa cinta untuk melancarkan rutin ini.

Sekali lagi aku pertaruhkan cinta dalam resolusi tahun baru. Mengikut web ramalan masa depan yang aku curi-curi baca di waktu kerja (aku bukan ateis seperti Ka, cuma keinginan untuk tahu apa di masa depan selalu melangkaui keimananku. Aku kekal menyimpan Tuhan dalam saku nadiku.) Beralih kepada web masa depan, katanya aku akan menjumpai cinta ketika puing-puing September mampir kunjung rumahku. Baguslah, gumamku. Aku perlu siap sedia dengan kertas dan pensil. Biar tak kejar-kejar bila cinta datang dan aku sambutnya dengan potongan puisi. Macam Ka. 

Seterusnya, hari minggu boleh sahaja dikatakan hari yang aku mau cepat-cepat sampai kedalam pelukan-nya. Baring berbungkus selimut sejuk sambil menari-nari anak mata di dada buku. Nanti bila matahari mau tegak - terus aku kejarkan diri bersiap menikmati sukan kegemaran baruku, berbasikal. Nah tanggal satu januari lalu telahpun aku mencatat 28.04km jauh perjalanan.

Orang yang sombong akhirnya akan disimbah kesunyian, tulis Ka dalam catatannya. Ahhh.. Ka, kau mahu memalukan aku sahaja seperti kau malu apabila berbicara tentang hal menua dan mati kepada Muhtar. Ka, menentang kesunyian ini sahaja aku merasakan cukup baik sekiranya aku berbagi. Aku masih senyum kepada keponakan yang selisih bahu ketika petang adalah waktu terbaik untuk aku sendiri-sendiri di taman olahan Setia Alam. Tempatnya bagus walaupun air tasiknya keruh. Kebanyakan imigran daripada tanah seberang mengerumuninya dengan berbatang mata kail. Ia juga menjadi tempat tumpuan pasangan cinta abadikan foto kenangan. Aku senang mencari diri aku disini, ada masa aku habiskan dengan membaca tulisan kau Ka. Ada masa lagi aku menyulam tulisan atau melukis atau mencorak atau apa-apa sahaja yang membuatku senang.

Ka, nampaknya penulisanku kembali lancar. Selancar kau menulis berbaris-baris puisi, seolah-olah seseorang membisikan sesuatu ditelinga, seperti kau juga Ka. Waktu kau menulis perihal anjing hitam nan berkeliaran, sajlu, wajah Ipek - begitulah aku menceritakan hal-hal aku.

Terima kasih, Ka.

Imej: Google

0 ulasan: