Kamis, Agustus 11, 2016

Perbualan ringkas dengan Mama

Aku tidak bersedia untuk menulis perihal Mama berkaitan ulang tahun ke-enam ditidurkan Tuhan. Kalau aku teruskan juga menulis perihal Mama; kau akan dapati kesan dakwat kembang di dua tiga huruf, itupun kalau aku menulis di kertas menggunakan pen basah.

Hai, Perempuan Anggun.

Masih ingatkah lagi kau kepada aku duhai Perempuan Anggun ?

Mari datang ke dakapanku untuk melepaskan rindu yang telah lama aku sorokkan di ruang hati. Boleh jadi badan kau telah sejuk kerana kehangatannya telah direntap oleh sang malaikat. Tidak mengapalah, aku tetap mahu memeluk kau dengan bersungguh-sungguh. 

Setelah itu, mari kita mulakan perbualan dengan bertukar khabar, adakah Tuhan telah menjaga kau dengan baik, perempuan anggun? Bagaimana pula dengan hewan-hewan kecil yang mendodoikan kau tidur ? Dan tanah-tanah yang empuk, adakah mereka masih nyaman untuk diduduki ?

Moga doa-doa dari alam nyata mengerumi Tuhan minta dimakbulkan!

Baiklah. Kini giliran kau pula bertanyakan kepada aku. Ya apa-apa sahaja yang kau mahu tahu, Perempuan Anggun. Aku akan segera menjawab segala pertanyaanmu. Jika kau mahu tahu perihal Babah - nama kau masih disebut-sebut lagi oleh pria ini ! Wallahi ! Dia sering tersasul memanggil namamu. Atau kau mahu tahu perihal anak-anakmu ? Mereka adalah serpihan doa-doa kau yang telah dimakbulkan Tuhan, Perempuan Anggun ! Ya kau telah berjaya mendidik mereka menjadi tabah dan kuat.

Atau kau mahu tahu perkembangan aku ?

Aku akan tunduk sekiranya soalan ini terpacul keluar dari kau. Aku akan gengam tangan kau kuat dan menangis teresak-esak seperti anak kecil. Aku mahu kau memeluk dan memujukku sambil bertanya kenapa duhai anakku? Kesedihan apakah yang menggelabui pemikiranmu? Nanti bila tangisku reda, aku akan beritahu bahawa aku rindu kau, orang yang membela kesalahanku. 

Perempuan anggun,

Apabila masa telah sampai, Tuhan akan menemukan kita lagi dalam keadaan muda. Kau muda dan aku juga muda. Bolehkah di waktu muda itu aku mahu memicit bahu kau lagi ? Seperti yang kita rutinkan suatu masa dahulu ?

Aku tunggu jawapanmu, Perempuan Anggun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar