Selasa, Agustus 23, 2016

Melur Radhiallah - Kopi Yang Menghangatkan Malam Kita

Aku lagi sedang duduk-duduk menikmati kopi panas di coffee-shop kegemaran kita. Barangkali kegemaran aku seorang yang kemudian engkau ikut terjebak atau kau cuma berpura-pura menangkan aku. Lalu aku keluarkan kertas dan menulis ini. Kau tahu, pada mulanya rencana aku ke sini adalah mau mengunjungi kedai peralatan seni yang aku temui semasa membuat carian di google tempoh hari; aku kehabisan benang kristik. Hampir sebulan kerja-kerja menjahit aku tertunggak. Cuma hasilnya mengecewakan. Item yang dicari telah kehabisan stok dan layanan mereka juga dingin. Mungkin pakaianku cabuk, muka aku juga tidak terurus. Mana hendaknya kalau dipadankan kedai kelas atasan begitu. Lalu aku tinggalkan kedai itu dengan hati bungkam dan terus memesan kopi favorite-all-time, Amerikano.

Amerikano. Rasa kopi ini masih sama. Masih pekat dan hitam. Ah aku masih ingat muka kau yang sebel melihat aku berlagak moden mengonsumsi kopi gaya amerika yang muncul lewat zaman perang dunia ke-2.

Kau sering menegakkan bahawa rasa kopi-kopi ini dan kopi di rumah lebih kurang sama. Berulang-ulang kali kau memberitahu. Namun, aku tetap berkeras mempertahankan kopi-kopiku. Aku berkeras memberitahu bahawa kopi Tabruk, Amerikano, Long Black adalah berbeza! Meskipun mereka sama-sama hitam, cara penyajiannya yang menjurangkan rasa setiap satu. Pembuatan Amerikano perlu dimulakan dengan espresso yang kemudian baru disatukan dengan air panas. Krema pada permukaan cangkir menyebabkan kepekatannya seperti di sorga. Siapakah diantara kita yang akhirnya mengalah dalam perbalahan ini, Jamal? Aku fikir tiada kerana diakhirnya masing-masing terdiam dan saling merenung mata. Ah sialnya masa itu.

Hari ini di hadapanku adalah kerusi kosong.

Namun rasa kopi masih masa. Masih pekat dan hitam.

Bezanya, kau sudah tiada.

Tammat.

2 komentar:

  1. Anonim22:10

    Kat mana aku boleh dapat full skrip melur ni ?

    BalasHapus