Sabtu, Maret 21, 2015

nrlamrh

Di penghujung ini, saya sadar akan perihal kelumpuhan huruf-huruf magis saya. Menulis bukan lagi makanan saya. Tulisan terakhir pada buku catatan merah pun bertarikh Januari nan lepas. Saya tidak menganggap ini suatu tabu atau apa-apa sahaja yang dikaitan dengan kesialan. Kerana tidak menulis juga adalah suatu nikmat yang perlu diraikan.

***

Dua minggu lepas, saya berkejar ke rumah sakit. Mendapat perkhabaran mengenai teman sekelas  sewaktu di sekolah menengah sedang berjuang melawan bakteria jahat. Soalnya hampir berkurun saya cuba menjauhi rumah sakit. Akhirnya saya memeluk sisi beliau, mengusap lembut dahi yang berkerut seakan menahan sesuatu -- dia kelihatan tenang sekali dalam hal orang yang menahan sakit.

Saya tertanya. Bagaimana seseorang mampu berjuang melawan sakit ? Sedang hal-hal pembuktian disekelilingnya menunjukkan jelas. Tenntu saja kesepian adalah teman terbaik. Seperti Mama nan sepi baring di katil putih menanti kami.

Keesokan hari, khabar membawa daun pun gugur.

***

Hari seterusnya, nama 'Nurul Amirah' muncul dalam ruang aplikasi whatsapp. Sumpah. Saya menjadi kaget dan berdebar. Darah berderau. Sungguh. Tapi saya sadar. Mana mungkin daun nan gugur kembali bercantum semula.

Tidur dengan tenang,
Nurul Amirah 1994-2015

Tidak ada komentar:

Posting Komentar